Tim menteri bimbang serangan pada Soros 'makan diri' BN
Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan bahawa
serangan yang kini dijalankan BN ke atas George Soros, berpotensi
'memakan diri sendiri' kelak.
Atas dasar
itulah, katanya, beliau tidak gemar menyerang Soros mahupun NGO Suaram
yang didakwa sebagai penerima dana daripada badan yang didakwa mempunyai
kaitan dengan jutawan tersebut.
"Kalau
kita tunjuk keburukan produk orang lain kita tak boleh kawal kualitinya
sedangkan mereka boleh kawal (kualiti) produk mereka," kata Saifuddin
yang juga ahli majlis tertinggi Umno.
"Bagaimana jika Soros yang (hari ini) kita hentam esok lusa dia buat kenyataan yang sesuai dengan kita.
"Sebab itu saya tak begitu berminat menghentam Soros atau menghentam Suaram," katanya kepada Malaysiakini.
Soros,
seorang peniaga mata wang kontroversi dan seorang dermawan,
dipersalahkan sebagai punca konflik kewangan yang melanda Malaysia
semasa krisis ekonomi tahun 1997-98, dan baru-baru ini, didakwa pula
mahu menjatuhkan BN dengan membiayai NGO antikerajaan.
Sejak
beberapa minggu lalu, sekumpulan penulis blog prokerajaan dan akhbar
milik Umno, Utusan Malaysia, mengecam NGO, termasuk badan hak asasi
manusia, Suaram dan gerakan reformasi pilihan raya, BERSIH, kerana
menerima pembiayaan daripada Open Society Foundation Soros.
Malaysiakini
juga, turut menjadi sasaran ekoran hubungannya dengan MDLF, sebuah dana
pelaburan yang memiliki 29 peratus kepentingan dalam portal berita
bebas itu. MDLF mengumpulkan modal dari bank, kerajaan dan agensi-agensi
pembiayaan, yang termasuk yayasan Soros.
Pada hari Ahad, bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama menuduh Malaysiakini
bersekongkol dengan Soros untuk perubahan rejim bagi "meletakkan
calonnya sebagai perdana menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan
Malaysia".
"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang
penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan
wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara
yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr
Mahathir dalam New Straits Times.
Dengan menyambungkan dua
titik berbeza, Mahathir membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi untuk
pembangkang adalah undi untuk Soros."
Dalam keriuhan isu
tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula dilaporkan bertemu
Soros secara sulit di New York, dua tahun lalu.
Ia pertama kali
didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa dalam
program debat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim.
Mengulas
perkara itu, Saifuddin menyifatkan berita itu sebagai bukti tindakan
mempromosikan BN lebih baik daripada menyerang Pakatan.
"Itulah
yang saya kata tadi. Saya tahu ini dekat pilihan raya dan kita harus
berkempen mendapatkan sokongan rakyat tetapi saya lebih suka untuk
bercerita tentang nilai-nilai yang kita nak bawa daripada BN daripada
menghentam orang lain.
"Kalau betul Datuk Najib bertemu Soros kita akan tunggulah apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan itu," katanya. ~malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan