4.11.09

AJARAN SESAT LAGI MENYESATKAN


Copy dari suara hati
MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam pada 21 Oktober lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad. Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor, 1995 kerana menyebarkan doktrin palsu, mengaku diri seorang rasul, mempersendakan agama, menyebarkan pendapat bertentangan fatwa dan mengingkari dan melanggar arahan mufti, empat tahun lalu. Doktrin palsu atau ajaran sesat bermaksud sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa ajaran atau amalan itu adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ada beberapa ajaran yang sebahagiannya difatwa sebagai sesat dan ada yang masih dalam proses siasatan pihak berkuasa agama. Hampir setiap negeri dikesan mengamalkan ajaran sesat disebarkan secara senyap, ada kalanya mendapat sokongan tokoh tertentu, termasuk artis.
Antara ciri ajaran sesat ialah: -

l Mengaku dirinya sebagai Nabi dan mendakwa menerima wahyu

l Mempercayai ada Nabi lain selepas Nabi Muhammad.

l Mempercayai wahyu masih lagi turun selepas wafatnya Rasulullah SAW.

l Mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya.

l Mempercayai bahawa roh orang mati menjelma semula ke dalam jasad orang masih hidup.

l Mendakwa pengikut ajarannya saja akan masuk syurga.

Timbulnya ajaran dan amalan sesat dalam masyarakat Islam di negara ini bukan perkara baru, tetapi kadang-kadang ajaran itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk antara benar dan salah. Perkara paling rumit dan kritikal ialah ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan lain. Hakikatnya, kemunculan ajaran sesat sebahagiannya pengaruh sebelum Islam dan kepercayaan animisme serta daya reka cipta kuno tidak berlandaskan syariat Islam. Ada pelbagai bentuk ajaran sesat termasuk ajaran baru seperti ajaran Crypto. Selain itu ia juga berbentuk tarikat, yang gurunya mengubah suai ajaran, malahan ada juga tarikat itu dicipta sendiri oleh pengasasnya seperti Ayah Pin. Selain itu kepercayaan dan amalan tradisi yang dipelopori dukun, pawang, bomoh atau pembawa ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya. Namun, walau apa bentuk ajaran ini, ia jelas membawa penyelewengan dari segi akidah yang boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan. Bagi menentukan sesuatu ajaran dan amalan itu sesat atau sebaliknya, ia tentu dikaitkan dengan akidah, sebagai contoh pengakuan menjadi nabi dan rasul. Dalam sesuatu ajaran itu apabila didapati sama ada pengakuan daripada guru atau pengakuan murid atau pengikutnya yang beranggapan gurunya adalah nabi dan rasul atau wakil nabi atau rasul secara langsung, maka pengakuan itu adalah sesat dan tidak benar. Sekiranya ada amalan, perlakuan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam, ia turut dikira amalan sesat. Sebagai contohnya memansuhkan beberapa Rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji. Kesimpulannya, pertumbuhan serta perkembangan ilmu atau amalan sesat dalam masyarakat Islam di negara ini, bukan saja boleh menyebabkan akidah umat Islam menyeleweng, malah ia juga sebahagian unsur yang membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam sendiri. Oleh kerana bahayanya ajaran sesat kerana membabitkan akidah umat Islam, sewajarnya ajaran seperti ini dibasmi dan masyarakat sendiri dengan menjauhinya. Selain itu, masyarakat harus mengambil inisiatif dengan melaporkan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung ajaran berkenaan daripada tersebar luas. Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

1. heran tengok org zaman sekarang mudah sangat terpengaruh dengan ajaran2 yg merapu2

2. tindakan semua adalah perlu untuk mengukuhkan sistem pembelajaran agama sejak peringkat sekolah rendah

3. sekarang ini pelajaran agama hanyalah dijadikan sebagai subjek tempelan di sekolah, begitu juga tiadanya pelajaran agama secara kukuh di universiti

4. peranan majlis agama islam perlu dipertingkatkan mengadakan kuliah2 agama dan bukannya majlis2 perasmian saja yg grand

5. wajibkan kelulusan subjek agama mulai UPSR hingga ke universiti

dalam perkara ini persamaan hampir menyerupai ajaran hasan anak limau atau ajaran zikir kuat...pada suatu ketika dulu....

Tiada ulasan:

RAKAN BLOGGER