Ini cerita lama..
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan sebuah buku “The Three Swans” yang memaparkan kehidupan dan liku-liku hidup yang dilalui ibunya, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah dan dua ibu saudaranya, Tun Suhailah dan Datin Fakhriah.
Najib dalam ucapan pelancaran berkata ketiga-tiga tokoh wanita istimewa ini telah memberi banyak sumbangan kepada pembentukan negara melalui cara masing-masing.
Rahah merupakan isteri kepada perdana menteri kedua negara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sementara kakaknya Suhailah isteri kepada perdana menteri ketiga negara Tun Hussein Onn.
Sementara kakak sulung mereka, Fakhriah merupakan isteri kepada Datuk Abdullah Ahmad bekas pegawai daerah dan presiden Majlis Bandaran Johor.
“Mereka menjadi isteri kepada tokoh-tokoh negara, memberi sokongan dan menjadi orang di belakang tabir, memberi kasih sayang dan membenarkan pemimpin-pemimpin negara menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, dengan penuh aman tenteram dan dalam masa yang sama menguruskan rumahtangga dengan baik,” katanya semasa melancarkan buku hasil karya sepupunya Datuk Dr Fawzia Abdullah, anak kepada Fakhriah.
Turut hadir isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang merupakan anak kepada Suhailah.
Najib berkata buku itu bukan sahaja memaparkan daripada sudut peribadi ketiga-tiga tokoh berkenaan, tetapi ia turut menggambarkan sebahagian daripada perjalanan sejarah negara serta liku-liku yang mereka lalui.
Perdana Menteri berharap menerusi buku itu, generasi muda boleh memperoleh satu kisah kehidupan yang mengagumkan, dan “dengan harapan ia menjadi suatu pengajaran dan mereka dapat memahami apa yang terpaksa diharungi generasi sebelum ini, namun mereka masih berupaya bangkit dalam kehidupan.”
Buku itu mengisahkan kehidupan ketiga-tiga anak perempuan Mohamed Noah dari Muar dan peranan mereka menyokong dan melengkapi tugas suami masing-masing.
Buku setebal 317 muka surat itu turut memaparkan kehidupan ketiga-tiga wanita sewaktu negara ini baru sahaja mencapai kemerdekaan dan mendepani cabaran serta realiti sosio-politik ketika itu.
“The Three Swans” boleh diperoleh di kesemua kedai buka utama pada harga RM80 senaskah.
– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan